Monday, January 01, 2007

Kecekalan Maryam, mampukah kita menjadi secekal dia?

Salah satu amalan yang harus dilakukan oleh ibu-ibu mengandung ialah mengamalkan membaca Surah Maryam. But for me, tak puas kalau sekadar membaca-buta saja. Kenapa kita dituntut membaca surah ni ketika mengandung?

Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam kitab Al Quran ini perihal Maryam, tatkala ia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur (timur Baitul-Maqdis). Surah Maryam, Ayat ke-16.

Kisah Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s. yang megandung dan melahirkan Nabi Isa tanpa bantuan sesiapa, tanpa keluh-kesah, dan melalui saat sakit bersalin sendirian. Itulah iktibar yang patut kita ambil. Tapi... dalam hati sentiasa terdetik, tidak akan aku mampu menjadi secekal dia, namun kita sentiasa berharap pada Tuhan, agar kita ditabahkan hati dan dikuatkan iman ketika sakit bersalin nanti...

Maryam binti Imran menurut Al-Quran adalah seorang wanita yang solehah dan kuat beribadat. Maryam telah didatangi Jibrail a.s. yang menyamar sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya dan mengatakan padanya:

Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkan kamu dikurniakan seorang anak yang suci" Surah Maryam, Ayat ke-19.

Maryam terkejut dengan kata-kata Jibrail itu dan bertanya kepadanya bagaimana dia hendak mengandung, sedangkan dia belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki dan dia bukanlah seorang perempuan yang jahat. Jibrail menjawab:

Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan, Tuhanmu berfirman 'Hal itu mudah bagiKu, dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia, dan sebagai satu rahmat dari Kami, dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya'" Surah Maryam, Ayat ke-21.

Ketika Maryam hamil, dia telah memencilkan dirinya. Orang-orang lain memikirkan dia sedang sibuk beribadat, dan tiada siapa yang tahu Maryam mengandung. Maryam melalui hari-hari kehamilannya seorang diri di tempat yang jauh. Tibalah suatu hari Maryam terasa sakit, dia hendak melahirkan. dalam kesakitan itu Maryam bersandar di sebuah pohon tamar (kurma). Surah Maryam, Ayat ke 24-26.

Maka kesakitan itu memaksanya pergi (bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar dan dia (Maryam) berkata "Alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan jadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak bererti" Surah Maryam, Ayat ke-23.

Lalu ia diseru "Janganlah kamu bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan anak sungai di bawahmu. Dan gegarkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan mengugurkan buah tamar yang masak kepadamu. Maka makan, minum dan bertenang hatilah kamu. Jika kamu melihat seorang manusia, maka katakanlah: ‘Sesungguhnya aku telah bernazar berpuasa untuk Tuhan Ar-Rahman , maka aku tidak akan berbicara dengan seorang manusia pun pada hari ini.'"

Bayangkan kalau kita dalam situasi Maryam, melahirkan seorang diri tanpa sesiap menyambut anaknya, di bawah sebatang pohon tamar, yang hanya ada air sungai untuk membersihkan dirinya selepas melahirkan dan hanya makan tamar untuk mendatangkan tenaga bersalin dan berjalan pulang ke perkampungannya, dengan Nabi Isa a.s. dalam dakapannya. Dan apabila dia sampai di kalangan orang-orangnya, Maryam dicemuh melakukan zina, kerana melahirkan anak secara tiba-tiba. Tetapi Maryam yang telah diseru oleh Allah untuk membisu, taat kepada suruhan itu dan membisu seribu bahasa. Tetapi dengan kuasa Allah swt, Nabi Isa yang masih bayi itu menjawab tuduhan dan tohmahan terhadap ibunya, bahawa ibunya adalah seorang yang suci, dan dia dilahirkan sebagai rahmat dan tanda kekuasaan Allah dan beliau diberikan Kitab Injil dan dijadikan seorang nabi.

Cekalnya Maryam... mampukah aku menjadi secekal dia?

Sumber rujukan :: Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada Pengertian Al-Quran

No comments: